Friday

Bunga anggerik @ bunga orkid (Mengenali orkid)

Ada 808 spesies orkid di Malaysia yang boleh dikenali menerusi bunga atau batang orkid. Cara pertumbuhan orkid atau anggerik dapat dikenal pasti melalui batang pokok orkid tersebut. Kita dapat mengetahui sama ada sesuatu orkid itu orkid simpodium atau orkid monopodium. Bagi orkid simpodium, ia boleh tumbuh diatas pokok (epifit) atau atas tanah (terestrial). Batangnya mempunyai bentuk bebawang semu, menjalar dan pertumbuhan berbagai hala. Daun dan akar terbit daripada bebawang semu dan tunas baru mengeluarkan bunga apabila matang. Bagi orkid monopodium, ia mempunyai batang yang kecil dan diliputi daun-daun. Daunnya ditembusi akar-akar udara yang keluar daripada batang. Orkid monopodium tidak mempunyai batang yang bercabang dan mampu mengeluarkan tunas-tunas baru selepas dipotong. Kebanyakan pokok anggerik atau orkid bergantung kepada suhu persekitaran untuk menghasilkan bunga. Tempoh berbunga sesuatu pokok orkid pula bergantung kepada spesis orkid berkenaan sama ada yang kerap berbunga atau memakan masa yang lama untuk berbunga. Bagi peminat orkid, kesabaran perlu dititikberatkan setelah anda memiliki sesuatu spesis orkid yang lambat berbunga. Anda akan mendapat kepuasan apabila pokok tersebut mengeluarkan bunga setelah sekian lama anda menunggunya. Tempoh mekar bagi spesis yang lambat untuk berbunga juga mungkin lama tetapi ia bergantung kepada jenis pokok dan penjagaan yang baik.

0 comments: