Friday

Bunga anggerik @ bunga orkid (Mengenali orkid)

Ada 808 spesies orkid di Malaysia yang boleh dikenali menerusi bunga atau batang orkid. Cara pertumbuhan orkid atau anggerik dapat dikenal pasti melalui batang pokok orkid tersebut. Kita dapat mengetahui sama ada sesuatu orkid itu orkid simpodium atau orkid monopodium. Bagi orkid simpodium, ia boleh tumbuh diatas pokok (epifit) atau atas tanah (terestrial). Batangnya mempunyai bentuk bebawang semu, menjalar dan pertumbuhan berbagai hala. Daun dan akar terbit daripada bebawang semu dan tunas baru mengeluarkan bunga apabila matang. Bagi orkid monopodium, ia mempunyai batang yang kecil dan diliputi daun-daun. Daunnya ditembusi akar-akar udara yang keluar daripada batang. Orkid monopodium tidak mempunyai batang yang bercabang dan mampu mengeluarkan tunas-tunas baru selepas dipotong. Kebanyakan pokok anggerik atau orkid bergantung kepada suhu persekitaran untuk menghasilkan bunga. Tempoh berbunga sesuatu pokok orkid pula bergantung kepada spesis orkid berkenaan sama ada yang kerap berbunga atau memakan masa yang lama untuk berbunga. Bagi peminat orkid, kesabaran perlu dititikberatkan setelah anda memiliki sesuatu spesis orkid yang lambat berbunga. Anda akan mendapat kepuasan apabila pokok tersebut mengeluarkan bunga setelah sekian lama anda menunggunya. Tempoh mekar bagi spesis yang lambat untuk berbunga juga mungkin lama tetapi ia bergantung kepada jenis pokok dan penjagaan yang baik.

Bunga anggerik @ bunga orkid (Faktor pemilihan)


Faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli orkid.

1)Mengenalpasti kematangan pokok bunga anggerik yang hendak dibeli.

2)Kenalpasti sama ada sepsis atau baka orkid tersebut cepat atau lambat untuk berbunga.

3)Kesesuaian pokok bunga anggerik tersebut sama ada yang memerlukan tempat redup atau pun panas.

4)Cuba periksa pasu yang digunakan sama ada baru atau lama.Lebih elok sekiranya yang baru ditukar.

5)Kesegaran pokok sama ada mendapat penjagaan sewajarnya dari pekedai.

6)Sebaik-baiknya pilih yang belum mekar atau kembang sepenuhnya supaya mampu ditatap lebih lama apabila dibawa pulang. Lebih-lebih lagi pokok bunga anggerik atau orkid yang mengambil tempoh yang lama untuk berbunga.

7)Tentu sekali yang sesuai dengan kemampuan.

Bunga Anggerik @ bunga orkid (Sebagai pokok hiasan)


Bunga anggerik atau bunga orkid merupakan tumbuhan berbunga yang sesuai dijadikan pokok hiasan bagi mencantikan sesuatu kawasan menjadi lebih segar dan indah. Daya kreativiti seseorang dapat menghasilkan satu suasana taman yang segar melalui susunan dan kepelbagaian warna bunga-bungaan anggerik atau orkid. Tanpa mengira jenis atau saiz pokok hiasan tersebut mampu mengubah persekitaran anda menjadi lebih segar dan nyaman. Pokok hiasan ini sesuai bagi mengindahkan ruang taman sesebuah kediaman melalui keunikan dan keindahan kelopak-kelopak bunganya yang pelbagai. Bunga anggerik atau bunga orkid mempunyai banyak spesis yang berbagai-bagai iaitu dianggarkan melebihi 1000 spesis.

Bunga anggerik @ bunga orkid (Sebagai hobi dan kerjaya)


Sebagai manusia tentu sekali atau berkali-kali kita mempunyai hobi bagi mengisi masa lapang mahupun menenangkan fikiran yang serabut. Salah satu hobi yang menjadi kegilaan oleh sebahagian rakyat Malaysia ialah mengumpul, menjaga, membela dan membelek-belek tumbuhan yang disukai mereka. Sebahagian daripada mereka ini menjadikan hobi tersebut sebagai punca rezeki atau dengan erti kata lain sebagai kerjaya sepenuh masa. Mereka berani menyahut cabaran seperti apa yang dilaungkan "pertanian adalah perniagaan" bagi mencapai kejayaan yang dihajati.

Walaubagaimanapun, bukan semua orang sanggup bersusah payah demi kelangsungan hidup yang lebih terjamin. Penggemar atau peminat tanaman berkait bunga-bungaan merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysia yang sanggup membelanjakan wang mereka semata-mata minat yang mendalam terhadap kecantikan serta keunikan kejadian alam yang mempunyai kepelbagaian variasi warna tersebut. Salah satu daripadanya ialah peminat bunga anggerik atau lebih dikenali sebagai bunga orkid. Jika di Malaysia bunga raya menjadi bunga kebangsaan, bunga anggerik pula merupakan bunga kebangsaan bagi negara Singapura.